IPT perlu berjimat guna elektrik

picture: Google

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 31 Mei – Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) digalakkan mengambil langkah berjimat cermat dalam penggunaan elektrik bagi mengelakkan peningkatan kos bil utiliti masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, walaupun langkah itu sudah dimulakan namun ia perlu diteruskan lagi bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan.

”Kita di kementerian termasuk universiti sentiasa berjimat cermat dalam setiap perkara dan ia akan terus dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pertandingan Reka Bentuk NST-Peugot di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn. Bhd. (Nasim), Datuk Samson Anand George dan Pengarang Kumpulan The New Straits Times Sdn. Bhd., Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

Beliau mengulas struktur tarif baru elektrik yang menyaksikan pemberian diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagian oleh kerajaan seperti mana yang diberi kepada rumah ibadat dan institusi kebajikan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan berharap untuk melihat lebih ramai lepasan sekolah memilih pengajian dalam bidang reka bentuk automatif bagi menarik minat syarikat pembuat kereta mewujudkan pusat reka cipta di negara ini.

”Pada masa yang sama, kita mahu pihak universiti dan pengeluar kereta menjalinkan kerjasama kerana pelbagai manfaat boleh diperolehi dari usaha sama itu,” katanya.

Sementara itu, Samson berkata, Pertandingan Reka Bentuk NST-Peugeot diadakan bagi menonjolkan bakat pelajar sekolah termasuk IPT mengenai bayangan reka bentuk kereta Peugeot yang sempurna untuk pasaran Asia Tenggara pada tahun 2018.

Tambahnya, sebanyak 200 siri jelajah akan dilakukan di sekolah di Semenanjung dalam masa terdekat yang menyaksikan pemenang pertandingan itu berpeluang melawat Pusat Reka Cipta Peugeot di Velizy Perancis.



No comments: