'Bukan plagiat' - tegas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Shah Alam: “Bukan plagiat.” Demikian tegas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said susulan tuduhan dibuat sekumpulan bekas graduan University of Bath, United Kingdom mengenai kecurian harta intelek, hujung bulan lalu.

Menurut beliau, hasil siasatan pihaknya mendapati tiada unsur plagiarisme namun laporan lengkap mengenai perkara itu belum siap sepenuhnya.

“Berdasarkan laporan awal siasatan itu, tiada sebarang kegiatan plagiat dikesan.

“Namun ia masih dalam penilaian terakhir pihak terbabit dan laporan penuh akan kami terima selewat-lewatnya Isnin depan.

“Siasatan memerlukan masa agak lama berikutan perlu mengambil kira segala sudut dan membabitkan beberapa pihak.

“Bagaimanapun, UiTM akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor dan Konferensi Akademik 2016 di sini, semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan dakwaan 15 graduan University of Bath mengaitkan UiTM dengan tuduhan mencuri harta intelek selepas mendapati tesis mereka dimuat naik dalam laman web perpustakaan digital universiti itu, UiTM IR.

Daripada jumlah terbabit, empat daripada mereka bekas pelajar di bawah Program Sarjana Eksekutif Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universty of Bath-Malaysia Institute of Management (MIM) 1994.

Mereka mendakwa tesis yang dikatakan disiarkan dalam UiTM IR itu digunakan tanpa kebenaran.

Terdahulu, Dr Hassan turut menyempurnakan majlis pelancaran ‘Operational Excellence’, Garis Panduan Kurikulum Fleksibel UiTM dan juga ‘Summer Programme’.

Beliau berkata, harapannya sebagai Naib Canselor baru mahu menaikkan ranking UiTM kepada kedudukan 500 terbaik di dunia dalam masa tiga tahun.

“Pada hemat saya, impak sebenar kewujudan dan perjuangan UiTM memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju dan harmonis.

“Satu petunjuk nyata ialah sumbangan kita terhadap keseimbangan sosioekonomi dan keadilan politik yang menyerlahkan kaum Bumiputera selaku tiang serinya. Hanya UiTM yang mampu menggalas misi besar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 8:59 AM




DR Hassan melihat pameran bergambar sempena 100 Hari Pentadbiran Naib Canselor.



sumber : http://www.hmetro.com.my/node/135794


berita berkaitan:

UiTM tutup laman web perpustakaan digital
02 Mei 2016 1:06 AM
- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/uitm-tutup-laman-web-perpustakaan-digital-1.304491#sthash.zT2phFBx.dpuf


UiTM Denies Theses Were Plagiarised
05 Mei 2016
- See more at: http://www.bernama.com/bernama/v8/ge/newsgeneral.php?id=1242459


No comments: