Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia


Baru-baru ini, saya telah menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2013 kepada seluruh warga Kementerian Pengajian Tinggi. Amanat kali ini memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing Malaysia. Tema ini dipilih kerana pengajian tinggi kini  bertujuan bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Bagi memenuhi tujuan ini, amanat telah memilih lapan agenda iaitu kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), merekayasa Institusi Pengajian Tinggi, menjana ekonomi berinovasi, menjamin kualiti Institusi Pengajian Tinggi, memperkukuhkan kebolehpasaran graduan, pemetaan baharu pengantarabangsaan, pendidikan untuk semua dan budaya kerja berinovatif.

Hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi telah banyak mengubah pendekatan kerajaan untuk melaksanakan transformasi dalam semua bidang. Ini kerana negara tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit, tetapi bersikap transformatif yang menghasilkan impak yang lebih besar.

Pelan transformasi kerajaan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) memerlukan peranan kritikal sektor pengajian tinggi. Ini bermakna, polisi dan perancangan strategik berkaitan pengajian tinggi juga perlu selari dan benar-benar menyokong agenda transformasi negara. Sehubungan dengan itu juga, kementerian akan mengkaji semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).


No comments: