Maklumat Tentang Kejuruteraan Mekatronik


Kejuruteraan Mekatronik

adalah satu bidang kejuruteraan yang baru yang menggabungkan bidang-bidang Kejuruteraan Elektronik, Elektrik, Mekanikal, Kawalan, Perisian, Komputer dan Teknologi Maklumat. 


Bidang ini telah menjadi popular dan semakin berkembang dengan pesatnya dalam industri-industri terutamanya industri pembuatan semenjak mikropemproses dan mikropengawal dikenalpastikan penggunaannya dalam kawalan industri. 
 
Mekatronik juga merupakan teknologi dibelakang produk-produk 'pintar' (smart products) yang biasanya melibatkan mikropemproses, sistem kawalan dan bidang mekanikal.
 
Jurutera dengan pengetahuan, pengalaman dan pengkhususan dalam bidang mekatronik amat diperlukan oleh industri. Jurutera mekatronik menggunakan komputer dan sistem kawalan digit yang lain-lain untuk mengawal proses dalam industri. 
 
Mereka menggabungkan bidang sains elektrik, kawalan, mekanikal, robotik dan pembuatan untuk mencipta berbagai jenis produk. Produk-produk ini meliputi barangan kegunaan harian seperti mesin basuh, kamera, mesin pendua dan brek antikunci kereta serta mesin-mesin kawalan komputer yang berteknologi tinggi yang digunakan di industri pembuatan dan pemasangan. 
 
Tidak kira apa pun disiplinnya, seseorang jurutera akan berhadapan dengan sistem mekatronik dalam kerja mereka. Sehubungan dengan itu, bidang ini meliputi gabungan dalam bidang elektronik, mikropengawal, robotik dan pengautomatan, kejuruteraan kawalan dan kejuruteraan pembuatan. Pengetahuan dalam bidang-bidang ini amatlah diperlukan. 
 
Mereka yang boleh merapatkan jurang di antara kejuruteraan mekanikal, elektrik dan elektronik akan mempunyai kelebihan yang tinggi dalam pasaran kerja. Adalah dijangkakan sektor industri di Malaysia akan terus berkembang dengan pesat disebabkan permintaan yang meningkat dari pasaran-pasaran yang kian bertambah seperti pasaran peralatan elektronik dan telekomunikasi serta hasil pelaburan yang dibuat oleh pelabur-pelabur asing. 
 
Sehubungan dengan itu, ramai tenaga kerja yang terlatih dalam semua bidang kejuruteraan, merangkumi bidang kejuruteraan kawalan dan instrumentasi diperingkat ikhtisas diperlukan. Para graduan secara amnya boleh mendapat pekerjaan sebagai jurutera di industri-industri berikut :
  • Firma-firma pembuatan dan pemasangan kenderaan;
  • Firma-firma pembuatan peralatan rumah seperti mesin basuh, TV, radio, periuk elektrik, dll;
  • Firma-firma pembuatan barangan elektronik seperti kamera, mesin pendua dll;
  • Kilang-kilang pemproses makanan;
  • Syarikat-syarikat minyak & gas;
  • Firma-firma teknologi tinggi seperti industri angkasa lepas;
  • Firma-firma perunding;
  • Firma-firma kejuruteraan & pembangunan produk;
  • Firma-firma pembuatan sistem automatan;
  • Firma-firma kejuruteraan bioperubatan;
  • Firma-firma pembangunan perisian;
  • Badan-badan penyelidikan & pembangunan seperti institusi pengajian tinggi, SIRIM, dll.
Mengikut jawatan pula, para graduan kursus ini boleh mengisi jawatan seperti berikut :
* Jurutera Mekatronik  *  Jurutera E & M (Elektro-Mekanik)
 * Jurutera Elektrik  *  Jurutera Penyelenggaraan
 * Jurutera Elektronik  *  Jurutera Pemasangan
 * Jurutera Pengeluaran  *  Jurutera Pemasaran
 * Jurutera Rekabentuk  *  Pegawai Perancang 
 * Jurutera Proses   *  Pegawai Penyelidik
 * Ahli Akademik   *  Pegawai Pemasaran
 
Original post: All About Engineering blog
 

No comments: