Perutusan Tahun Baru Naib Canselor 2012


Aktiviti : Perutusan Tahun Baru Naib Canselor 2012
Tarikh : 31 Jan 2012
Tempat : Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM
Masa : 7.30 pagi - 1.00 petang

Pemeriksa Luar Negara Nilai Penuntut PhD UiTM

SHAH ALAM, 31 Jan (Bernama) -- Penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dinilai oleh pemeriksa dari luar negara mulai tahun ini dalam usaha memastikan mereka setaraf dengan lulusan di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata langkah itu akan membolehkan lulusan PhD dari UiTM menghasilkan kajian lebih berkualiti selain diiktiraf universiti seluruh dunia.

"Sebelum ini, pemeriksa dari dalam negara sahaja, jadi dalam usaha meningkatkan kualiti akademik di UiTM kita membuat keputusan supaya hasil kajian dinilai pemeriksa dari luar negara yang pakar dalam bidang masing-masing," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Tahun Baru Naib Canselor 2012 di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM di sini, pada Selasa.

Sahol Hamid berkata langkah itu juga selaras dengan fokus utama UiTM tahun ini iaitu meningkatkan kualiti dalam bidang akademik, pensyarah, graduan dan program yang ditawarkan.

Beliau berkata UiTM menggalakkan penuntutnya memilih multi disiplin dalam pengajian mereka, contohnya pemegang diploma dalam fotografi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang komunikasi dan pengajian media.

"UiTM akan meneruskan matlamatnya menjadi universiti yang melahirkan graduan kebolehpasaran iaitu mereka mampu mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian.

"Bukan bermakna kita tidak menjadi research university, tetapi fokus utama ialah untuk memastikan kebolehpasaran graduan," kata Sahol Hamid.

Pada majlis itu, Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub melancarkan buku karya Sahol Hamid bertajuk "Maxims of University Leadership" dan nama baru Pusat Penerbitan Universiti UiTM yang kini dikenali sebagai UiTM Press.

Mengenai buku tulisannya, Sahol Hamid berkata ia menceritakan pengalamannya dalam mengurus dan mentadbir dengan berkesan.

Dalam pada itu, Arshad berkata UiTM berada pada landasan betul terutama dalam usaha melahirkan graduan berkualiti selain perlu terus memainkan peranannya bagi memajukan penuntut Melayu dan Bumiputera.

Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM turut melancarkan buku Transformasi Akademik UiTM (AcT 2012) bermotokan "Act On It" dalam usaha memacu kecemerlangan akademik universiti berkenaan.

SUMBER -- BERNAMA


No comments: