PUTRAJAYA 25 Julai - Syarikat kejuruteraan tempatan digesa menyambar peluang menyertai program ijazah Kedoktoran Falsafah (MyPhD) yang ditawarkan oleh kerajaan.
Ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi industri berikutan kurangnya penyelidikan terhadap teknologi baru.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasrat tersebut akan tercapai jika pihak industri bekerjasama dengan universiti untuk menjalankan penyelidikan di peringkat tinggi dengan menggunapakai aplikasi kejuruteraan.
Menurutnya, ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan pekerja yang mempunyai kemahiran khusus untuk keperluan industri melalui kerjasama erat kedua-dua pihak.
"Apabila isu dan masalah ini dapat diselesaikan, ia akan menyumbang kepada produktiviti dan membolehkan syarikat tersebut bersaing dengan syarikat lain melalui peningkatan kepakaran dan tahap kecekapan modal insan yang ada.
"Ia sekali gus dapat menarik minat syarikat luar untuk melabur di negara ini kerana keupayaan kita dalam industri berasaskan teknologi berat yang semakin relevan dalam menjadi negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi berbanding bersaing dalam industri biasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bagi Program Doktor Kejuruteraan Antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan pihak industri di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UTEM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Pengarah Kanan Infineon Technologies (Kulim).
Pada majlis itu sebanyak enam syarikat ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Kejuruteraan di UTeM.
Enam syarikat tersebut Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd., Infineon Technologies (Kulim), Infineon Technologies (Melaka), Solid Precision Engineering, National Semiconductor (Melaka) dan Rubber Leisure Product Sdn. Bhd.
Mohamed Khaled berkata, melalui program itu juga banyak kemudahan disediakan kerajaan kepada pihak industri seperti penyediaan pinjaman pengajian dan tempat di universiti tempatan.
"Pekerja industri dapat mengikuti pengajian tanpa perlu ke universiti untuk menghadiri kelas di samping yuran pengajian sebanyak RM50,000 maksimum yang dibayar oleh kerajaan kepada pihak universiti.
"Pekerja itu juga akan memperoleh pendapatan seperti biasa kerana mereka akan menyambung pengajian di industri berkenaan tanpa keluar ke tempat lain," katanya.
Menjelaskan mengenai perkembangan program MyBrain 15, beliau berkata, sebanyak 672 tempat sudah diisi dalam program MyPhD.
Ia melebihi tawaran asal 650 tempat manakala program MyMaster hanya 2,802 tempat yang diisi berbanding 8,000 tempat yang ditawarkan.
source: Utusan online
No comments:
Post a Comment